Pages

Sunday 11 December 2011

KANAK-KANAK ISTIMEWA...

Kanak-kanak istimewa adalah sebahagian daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan orang kehilangan upaya (OKU), iaitu seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuhnya, atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu, dan tidak dapat hidup bermasyarakat sama ada dari segi fizikal, atau mental, dan berlaku sama ada sejak dilahirkan, ataupun sesudah itu.

 Kategori Orang Kurang Upaya
Terdapat enam kategori orang kurang upaya yang turut melibatkan kanak-kanak, iaitu:
  • Kurang Upaya Pendengaran - termasuk pekak dan bisu.
  • Kurang Upaya Penglihatan - termasuk rabun, buta.
  • Kurang Upaya Fizikal - iaitu kecacatan anggota badan misalnya penyakit polio, kudung, distrofi otot, dan sebagainya.
  • Celebral Palsy - meliputi hemiplegia(sebelah badan), diplegia(kedua belah kaki), dan kuadriplegia(kedua-dua belah tangan dan kaki)
  • Masalah Pembelajaran - lewat perkembangan bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun; Sindrom Down, autisme, ADHD, terencat akal(berusia lebih tiga tahun), dan masalah lain seperti disleksia, disgrafia, diskakulia, dan lain-lain.
  • Lain-lain menurut diagnosis perubatan yang merangkumi semua masalah kurang upaya.
Kanak-kanak ini memerlukan rawatan, bimbingan, bantuan, dan perhatian khusus daripada orang di sekeliling mereka. Janganlah kita menyisihkan mereka. Bantulah sedaya upaya kita kerana mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri.

 Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) di Malaysia
Sesungguhnya sebagai warga Malaysia, kita semua amat bertuah kerana kerajaan amat prihatin terhadap insan-insan istimewa dan kurang upaya. Ini terbukti dengan penubuhan sebuah kementerian khusus yang antara peranan dan tanggungjawabnya, adalah menjaga kebajikan golongan yang tidak bernasib baik, iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat. Di bawah kementerian inilah diwujudkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang amat peka dan sentiasa bersedia mendengar serta membantu dalam apa jua cara, untuk menjadikan golongan istimewa ini sebagai warganegara yang berguna.
Perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan ini meliputi kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, orang papa, keluarga, mangsa bencana, komuniti, dan juga skim bantuan kebajikan. Jabatan ini juga bertanggungjawab mengeluarkan statistik jumlah Orang Kurang Upaya melalui pendaftaran yang dilakukan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, dan Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

 Faedah
Antara faedah yang diperoleh apabila mendaftar dengan JKM adalah:
  • rawatan perubatan
  • khidmat pemulihan, rawatan lanjutan, dan latihan vokasional
  • pendidikan akademik di sekolah khas dan institusi tertentu
  • bantuan kewangan, peralatan tiruan, dan alat-alat kemudahan
  • pertimbangan Elaun Pekerja Kurang Upaya
  • pertimbangan jagaan dan perlindungan, didikan dan latihan di institusi JKM/NGO dalam program Pemulihan Dalam Komuniti(PDK)
  • peluang pekerjaan di sektor awam atau sektor swasta
Banyak faedahnya apabila golongan ini mendaftar dengan pihak JKM kerana daripada sinilah dapat difikirkan apa-apa jua bentuk bantuan yang diperlukan oleh mereka. Sekiranya, anda mengetahui mana-mana kanak-kanak istimewa di tempat anda yang belum mendaftar, bantulah mereka dengan mengunjungi pejabat JKM yang berhampiran.

 Ketakupayaan Pembelajaran
Kanak-kanak istimewa sering dikaitkan dengan ketakupayaan pembelajaran. Sebenarnya, ketakupayaan pembelajaran bukanlah bermaksud bodoh, lembab, malas, atau tahap kecerdasan yang rendah. Dan ini juga bukanlah berlaku akibat daripada perbezaan budaya, status sosial, kekangan ekonomi, dan pengaruh persekitaran. Ketakupayaan pembelajaran bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak ini, yang menjejaskan cara seseorang itu memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu maklumat. Terdapat beberapa bentuk ketakupayaan pembelajaran iaitu;
  • Disleksia - ini adalah ketakupayaan pembelajaran yang menjadikan kanak-kanak itu sukar membaca, menulis, dan mengeja dalam cara yang biasa.
  • ADHD(Attention Deficit and Hyperactivity Disorder) - ini adalah satu gangguan yang menjejaskan keupayaan otak untuk menumpukan atau memfokus kepada sesuatu benda. Misalnya, seseorang kanak-kanak itu mungkin normal, cerdas, dan bijak tetapi dia tidak dapat menumpukan perhatiannya dan mengawal tingkah lakunya sendiri.
  • Dispraksia - ini satu ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan masalah dengan gerakan anggota tubuh.
  • Diskalkulia - satu jenis ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan matematik, apabila kanak-kanak itu mengalami masalah dalam pengiraan dan hitungan. Walau berkali-kali diajar dengan cara yang paling mudah, namun di tetap sukar memahaminya.
  • Autisme - ini pula merujuk kepada ketakupayaan kanak-kanak mengalami dunia persekitarannya, sebagaimana yang dialami oleh rakan-rakannya yang normal. Mereka sukar bercakap dan berbual-bual, sebaliknya mendiamkan diri serta memerlukan bantuan untuk berkomunikasi. Mereka juga bertindak balas dalam cara yang berbeza. Bunyi yang indah mungkin membingitkan telinga mereka. Sentuhan dan belaian yang manja mungkin menjadi sesuatu yang tidak disenangi. Mereka juga tidak dapat mengaitkan sesuatu perkataan dengan maksudnya. Jadi, mereka mungkin mengulang-ulang perkataan-perkataan tertentu, panas baran, dan bertindak balas secara luar biasa.
 Bantuan untuk Kanak-kanak Istimewa dan Orang Kurang Upaya
Selaras dengan Kempen Masyarakat Penyayang, Kerajaan telah menyediakan pelbagai cara dan kaedah untuk membantu golongan istimewa serta kurang upaya ini, dan antaranya adalah;
  1. Kemudahan galakan pelepasan cukai : bagi ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya, pelepasan cukai berganda diberikan disertai rebet untuk membeli peralatan khas untuk kegunaan sendiri, anak, dan ibu bapa orang kurang upaya. Orang kurang upaya sendiri juga menikmati pelepasan cukai tambahan sebanyak RM5000.
  2. Kemudahan pengangkutan awam : terdapat insentif potongan harga atau tambang misalnya, bagi Sistem Penerbangan Malaysia (50% potongan penerbangan dalam negeri), KTM (50% konsesi tambang), dan semua perjalanan dengan bas Transnasional diberikan konsesi 50%. PUTRA-LRT juga memberikan konsesi tambang kepada golongan ini.
  3. Kemudahan perumahan : DBKL menyediakan kemudahan menyewa rumah-rumah pangsa atau kos rendah DBKL pada kadar sewa yang istimewa.
  4. Pengecualian bayaran rawatan perubatan : dikecualikan bayaran di Hospital Kerajaan, tidak termasuk Hospital Universiti dan Institusi, serta tidak termasuk bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan.
  5. Pengecualian bayaran dokumen perjalanan : dikecualikan bayaran perkhidmatan menyedia dan memproses dokumen perjalanan(Pasport Antarabangsa).
  6. Kemudahan peluang pekerjaan : kuota 1% untuk golongan kurang upaya bagi sektor kerajaan dan Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya bagi Sektor Swasta.
  7. Kemudahan pendidikan : terdapat sekolah pendidikan khas, pengecualian bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya pendengaran untuk latihan kemahiran di institusi pengajian kelolaan Kementerian Pendidikan, dengan elaun bulanan RM300.
  8. Kemudahan dalam aktiviti harian : terdapat peruntukan Kod Amalan Awam bagi Orang Kurang Upaya ke Bangunan Awam, supaya mesra orang kurang upaya dengan menyediakan 'ram', 'railing', laluan untuk kerusi roda, lif khas, tempat letak kereta khas, dan tandas khas serta lain-lain.
  9. Pengecualian 50% Duti Eksais ke atas Kereta/Motosikal Nasional bagi golongan cacat anggota.
  10. Insentif lain seperti daripada Syarikat Telekom Malaysia Berhad, kemudahan memulakan perniagaan kecil dengan bantuan geran RM2700, kemudahan pencen terbitan dan sebagainya.

0 comments:

Post a Comment